Sunday 5 February 2012

Perlembagaan Pertubuhan KRS


1.0      Nama dan alamat berdaftar

Pasukan Pakaian Seragam ini dikenali dengan nama Kadet Remaja Sekolah atau ringkasnya KRS bagi Sekolah Menengah dan Tunas Kadet Remaja Sekolah ( TKRS ) bagi Sekolah Rendah.

Alamat berdaftar atau alamat KRS & TKRS:

a.               Peringkat Kebangsaan:
 Bahagian Sekolah, Jabatan Sekolah,
Kementerian Pelajaran Malaysia,
Aras 3 & 4 , Blok E2
Kompleks Kerajaan Parcel E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Kuala Lumpur

b.               Peringkat Negeri : Jabatan Pelajaran Negeri berkenaan

c.               Peringkat Daerah : Pejabat Pelajaran Daerah berkenaan

d.               Peringkat Sekolah : Sekolah berkenaan.

e.   Atau di tempat lain dalam Malaysia sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa KRS/TKRS dari semasa ke semasa.

Sejarah Penubuhan KRS



SEJARAH PENUBUHAN KADET REMAJA SEKOLAH ( KRS )

Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) telah ditubuhkan dan diasaskan oleh En. Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong , Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987  Pada mulanya pasukan ini dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-Pelajar Islam SMRA (PERWIRA). Keahliannya adalah seramai 20 orang pelajar sahaja iaitu terdiri daripada pelajar tingkatan I dan 2. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang BERILMU, BERIMAN, DAN BERAMAL , berakhlak mulia , bersemangat patriotik dan berketrampilan selaras dengan usaha dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah Wawasan 2020.

Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan . Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN  (AD DEEN). Mulai tahun 1989 beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan telah mula menubuhkan KPIM. Di antaranya ialah Sek. Men. Tmn Tun Dr Ismail di bawah pimpinan Ustaz Ahmad Farazilla Bin Abdul Ghani , Sek. Men Seri Titiwangsa di bawah pimpinan En. Anuar Bin Abd Aziz dan Sek. Men. Agama Ma'ahad Hamidiah , Kajang , Selangor di bawah pimpinan En. Abu Hassan Bin Morad. Pada tahun 1993, sebanyak 53 buah Sekolah Menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM. Usaha untuk menubuhkan KPIM secara rasmi dan bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia telah dimulakan pada 10 Ogos 1993. Satu pertemuan telah diadakan dengan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid Bin Wan Mohd Nordin iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993. Di dalam pertemuan ini tesis mengenai KPIM telah dibentangkan. Hasilnya,  sebuah jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk menyediakan  kertas kabinet .  Jawatankuasa  ini mencadangkan agar pasukan ini diberi nama KADET PUTERA - PUTERI ISLAM ( KPIM ) . Walau bagaimanapun nama pasukan ini kemudiannya ditukar kepada KADET REMAJA ISLAM (KRIS)

Sementara itu taklimat dan pendedahan kepada Pengarah­-Pengarah Bahagian Kementerian Pendidikan yang diadakan pada bulan Oktober 1993 dan dipengerusikan oleh yang berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid telah membuat keputusan agar nama pasukan ini ditukar kepada  KADET REMAJA SEKOLAH  ( KRS )  yang bertujuan agar keahliannya terbuka kepada semua kaum sama ada pelajar lelaki atau perempuan. Upacara Pelancaran KADET REMAJA SEKOLAH Peringkat Kebangsaan  telah diiaksanakan pada      20 Jun 1995 bersamaan 21 Muharam 1416 oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah , Jalan Kepong, Kuala Lumpur.

Rasional Penubuhan Kadet Remaja Sekolah


1.     Memberi peluang seluas-luasnya kepada murid-murid untuk melibatkan diri dalam Pasukan Pakaian Seragam.

2.       Adalah diharapkan Kadet Remaja Sekolah / Tunas KRS dapat membantu mengatasi masalah salahlaku di kalangan murid-murid sekolah seperti penyalahgunaan najis dadah, ponteng sekolah, budaya lepak dan juvana.

3.    Memenuhi inspirasi dan permintaan masyarakat masa kini yang memerlukan satu usaha pembinaan generasi baru secara komprehensif dan cemerlang dengan mendapat sokongan padu daripada semua pihak.

4.     Aktiviti KRS diharap dapat mengembangkan semua aspek potensi manusia yang berteraskan ilmu dan amal ke arah pembinaan dan pengukuhan sahsiah pelajar yang mengamalkan nilai-nilai murni dan moral yang tinggi selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Objektif Penubuhan Kadet Remaja Sekolah


1.  Membina generasi bersemangat patriotik yang cintakan agama, bangsa   dan negara.

2. Membentuk generasi yang menjiwai semangat perpaduan, memiliki   ketrampilan diri, berdaya saing, bersemangat juang , kreatif serta inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup

3. Membina dan mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan di kalangan pelajar mengenai isu-isu semasa serta berkeupayaan mewujudkan integrasi nasional.

4. Melahirkan generasi yang mengetahui, memahami, menghayati dan  mengamalkan akhlak Islam serta mampu memberikan sumbangan demi  kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bermesra.

5.  Menyediakan peluang kepada pelajar untuk memperolehi pengetahuan, pengalaman, kemahiran, kebolehan mengurus dan  memimpin.


Matlamat Penubuhan Kadet Remaja Sekolah

Melahirkan pelajar cemerlang yang beriman, berakhlak mulia, berilmu dan berketrampilan selaras dengan hasrat wawasan Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara ke arah menjayakan Wawasan 2020

Lagu Kadet Remaja Sekolah

Kadet Remaja Sekolah,
Menuju satu ikatan bersaudara,
Bersatu menjulang, keamanan Negara,
Menjayakan ilmu, iman dan amal.

Marilah kita membina peribadi,
Membentuk insan yang kereatif,
Kearah kecermelangan diri,
Sepanjang masa yang berterusan.

Remaja sambutlah cabaran,
Menjadi bangsa Malaysia,
Maju dan cemerlang, remaja berwawasan,
Jangan kita lupa kepada pencipta.

Remaja hayati budaya,
Ilmu, iman dan amal,
Tetapkan di hati dan jiwamu,
Wawasan Kadet Remaja Sekolah.

Lagu: Mejar Muhammad Thani B. Shaaban
Lirik: Left. Ustaz Roslan B. Abd. Rahman
Muzik: Bah. Teknologi Pendidikan, Kementerian Pend. Malaysia

Bendera KRS dan Cogan Kata

Bendera Kadet Remaja Sekolah .







WARNA HIJAU bermaksud alam sekitar yang sihat.

WARNA MERAH bermaksud keperwiraan dan sedia berjuang mempertahankn negara yang tercinta.

WARNA KUNING bermaksud warna diraja yang menjadi tunggak kedaulatan negara Malaysia.

WARNA PUTIH bermaksud keikhlasan dan kesucian.



Cogan Kata Kadet Remaja Sekolah




ILMU , IMAN , AMAL . 



ILMU bermaksud asas keintelektual dan keterampilan ahli KRS.

IMAN bermaksud keimanan yang mendalam merupakan asas pembinaan diri.

AMAL bermaksud penghayatan dan perlakuan gaya hidup sihat yang berterusan merupakan natijah daripada kekuatan intelektual dan disiplin diri.